Allah s.w.t. telah memerintahkan
seorang Malaikat berjumpa Iblis supaya dia berjumpa dengan Rasulullah s.a.w.
untuk memberitahu segala rahsianya; samada yang disukai mahupun yang
dibencinya. Hikmatnya ialah untuk meninggikan darjat Nabi Muhammad s.a.w. dan
juga sebagai peringatan dan perisai kepada umat manusia.
Maka Malaikat itu pun berjumpa Iblis
dan berkata, “Hai Iblis! Bahawa Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar menyuruh
engkau menghadap ke hadrat Rasullullah s.a.w. Hendaklah engkau buka segala
rahsia engkau dan apa-apa yang disoal oleh Rasulullah hendaklah engkau jawab
dengan sebenar-benarnya. Jikalau engkau berdusta walau satu perkataan pun,
nescaya akan diputuskan segala suku-suku anggota badanmu, uratmu serta disiksa
dengan azab yang amat keras”.
Demi mendengar sahaja kata Malaikat
yang dahsyat itu, Iblis sangat ketakutan. Maka segeralah dia menghadap
Rasulullah s.a.w. dengan menyamar sebagai seorang tua yang buta sebelah matanya
dan berjanggut putih 10 helai; panjangnya seperti ekor lembu. Iblis pun memberi
salam, sehingga 3 kali tidak juga dijawab oleh Rasulullah s.a.w. Maka sembah
Iblis (alaihi laknat),”Ya Rasulullah! Mengapa tuan hamba tidak mejawab salam
hamba? Bukankah salam itu sangat mulia di sisi Allah?”
Maka jawab Nabi dengah marah “Hai
Aduwullah seteru Allah! Kepada aku engkau menunjuk baikmu? Jangan engkau cuba
hendak tipu aku sebagimana engkau tipu Nabi Adam a.s sehingga keluar dari
syurga Habil mati teraniaya dibunuh Qabil dengan sebab hasutan engkau, Nabi
Ayub engkau tiup dengan asap racun ketika dia sedang sujud sembahyang hingga
dia sengsara beberapa lama, Nabi Daud dengan perempuan Urya, Nabi Sulaiman
meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyamar sebagai isterinya dan begitu
juga beberapa Anbiya dan pendita yang telah menanggung sengsara akibat hasutan
engkau. Hai Iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia di sisi Allah azza
wajalla, cuma salam engkau saja aku tidak hendak menjawabnya kerana diharamkan
Allah. Maka aku kenal baik-baik engkaulah Iblis, raja segala iblis, syaitan dan
jin yang menyamar diri.
Apa kehendak engkau datang berjumpa aku?”
Sembah Iblis,”Ya Nabi Allah!
Janganlah tuan hamba marah. Kerana tuan adalah Khatamul Anbiya maka tuan dapat
kenal akan hamba. Kedatangan hamba adalah disuruh Allah untuk memberitahu
segala tipu daya hamba terhadap umat tuan dari zaman Nabi Adam hingga akhir
zaman. Ya Nabi Allah! Setiap apa yang tuan tanya hamba sedia menerangkan satu
persatu dengan sebenarnya, tiadalah hamba berani sembunyikan.” Maka Iblis pun
bersumpah menyebut nama Allah dan berkata “Ya Rasulullah! Sekiranya hamba
berdusta barang sepatah pun nescaya hancur leburlah badan hamba menjadi abu”
Apabila mendengar sumpah Iblis itu, Nabi pun tersenyum dan berkata dalam
hatinya, inilah satu peluang aku untuk menyiasat segala perbuatannya agar
didengar oleh sekelian sahabat yang ada di majlis ini dan menjadi perisai
kepada sekelian umatku.
Soalan Nabi (1) – “Hai Iblis!
Siapakah sebesar-besar musuh engkau dan bagaimana aku terhadap engkau?” Jawab
Iblis – “Ya Nabi Allah! Tuanlah musuh hamba yang paling besar di antara segala
musuh hamba di muka bumi ini” Maka Nabi pun memandang muka Iblis, dan Iblis pun
mengeletar kerana ketakutan. Sambung Iblis,”Ya Khatamul Anbiya! Adapun hamba
dapat merupakan diri hamba seperti sekelian manusia, binatang dan lain-lain
hingga rupa dan suara pun tidak salah sepertinya, kecuali diri tuan sahaja yang
tidak dapat hamba tiru kerana ditegah oleh Allah. Kiranya hamba menyerupai diri
tuan, maka terbakarlah diri hamba menjadi abu. Hamba cabutkan iktikad anak Adam
supaya menjadi kafir kerana tuan berusaha memberi nasihat dan pengajaran supaya
mereka kuat untuk memeluk agama Islam; begitu jugalah hamba berusaha menarik
mereka kepada kafir, murtad atau munafik. Hamba akan tarik sekelian umat Islam
dari jalan benar kepada jalan yang salah supaya masuk ke dalam neraka dan kekal
di dalamnya bersama hamba”
Soalan Nabi ke 2 – “Hai Iblis!
Betapa perbuatanmu kepada makhluk Allah” Jawab Iblis – “Adalah satu kemajuan
bagi perempuan yang merenggangkan kedua pehanya kepada lelaki yang bukan
suaminya, setengahnya hingga mengeluarkan benih yang salah sifatnya. Hamba goda
segala manusia supaya meninggalkan sembahyang, leka dengan makan minum, berbuat
durhaka, hamba lalaikan dengan harta benda daripada emas, perak dan permata,
rumahnya, tanahnya, ladangnya supaya hasilnya dibelanjakan kejalan haram.
Demikian juga ketika temasya yang bercampur lelaki perempuan. Di situ hamba
lepaskan sebesar-besar godaan supaya hilang maruah dan minum arak. Apabila
terminum arak itu maka hilanglah akal, fikiran dan malunya. Lalu hamba hulurkan
tali cinta dan terbukalah beberapa pintu maksiat yang besar, datang perasaan
hasad dengki hingga kepada pekerjaan zina. Apabila terjadi kasih antara mereka,
terpaksalah mereka mencari wang hingga menjadi penipu, peminjam dan pencuri.
Apabila mereka teringat akan salah mereka lalu hendak bertaubat atau amal
ibadat, hamba akan galang mereka supaya mereka menangguhkannya. Bertambah keras
hamba goda supaya menambahkan maksiat dan mengambil isteri orang. Bila kena
goda hatinya, datanglaah rasa riak, takbur, megah, sombong dan melengahkan
amalnya. Bila pada lidahnya, mereka akan gemar berdusta, mencela dan mengumpat.
Demikianlah hamba goda mereka setiap saat.”
Soalan Nabi ke 3 – “Hai Iblis!
Mengapa engkau bersusah payah dan berpenat melakukan pekerjaan yang tidak
mendatangkan faedah bahkan menambahkan laknat yang besar serta siksa yang besar
di neraka yang paling bawah? Hai kutuk Allah! Siapa yang menjadikan engkau?
Siapa yang melanjutkan usia engkau? Siapa yang menerangkan mata engkau? Siapa
yang memberi pendengaran engkau? Siapa yang memberi kekuatan anggota badan
engkau?” Jawab Iblis – “Sekelian itu adalah anugerah daripada Tuhan Yang Maha
Besar juga. Tetapi hawa nafsu dan takbur menceburkan hamba menjadi
sebesar-besar jahat. Tuan lebih tahu bahawa hamba telah beribu-ribu tahun
menjadi ketua kepada sekelian Malaikat dan pangkat hamba telah dinaikkan dari
satu langit ke satu langit yang tinggi. Kemudian hamba tinggal di dunia ini
beribadat bersama sekelian Malaikat beberapa lama. Tiba-tiba datang firman
Allah s.w.t. hendak menjadikan seorang Khalifah di dunia ini, maka hamba pun membantah.
Lalu Allah mencipta lelaki (Nabi Adam) lalu dititahkan sekelian Malaikat
memberi hormat kepada lelaki itu, kecuali hamba yang ingkar. Oleh itu Allah
murka kpd hamba dan muka hamba yang cantik molek dan bercahaya itu bertukar
menjadi keji dan hodoh. Hamba berasa sakit hati. Kemudian Allah menjadikan Adam
raja di syurga dan dikurniakan seorang permaisuri (Siti Hawa) yang memerintah
sekelian bidadari. Hamba bertambah dengki dan berdendam kepada mereka. Akhirnya
dapat juga hamba tipu melalui Siti Hawa yang menyuruh Adam memakan buah Khuldi,
lalu keduanya dihalau dari syurga ke dunia. Kedua mereka berpisah beberapa
tahun dan kemudian dipertemukan Allah (di Padang Arafah), hingga mereka
mendapat beberapa orang anak. Kemudian kami hasut anak lelakinya Qabil supaya
membunuh saudaranya Habil. Itu pun hamba masih tidak puas hati dan berbagai
tipu daya hamba lakukan hingga Hari Kiamat.
Sebelum tuan lahir ke dunia, hamba
serta bala tentera hamba dengan mudah dapat naik ke langit untuk mencuri segala
rahsia serta tulisan yang menyuruh manusia berbuat ibadat serta balasan pahala
dan syurga mereka. Kemudian hamba turun ke dunia, dan memberitahu manusia yang
lain daripada apa yang sebenarnya hamba dapat, dengan berbagai tipu daya hingga
tersesat dengan berbagai kitab bidaah dan karut-marut. Tetapi apabila tuan
lahir sahaja ke dunia ini, maka hamba tidak dibenarkan oleh Allah untuk naik ke
langit serta mencuri rahsia, kerana banyak Malaikat yang menjaga di setiap
lapisan pintu langit. Jika hamba berkeras juga hendak naik, maka Malaikat akan
melontar dengan anak panah daripada api yang menyala. Sudah banyak bala tentera
hamba yang terkena lontaran Malaikat itu dan semuanya terbakar menjadi abu.
Maka besarlah kesusahan hamba dan tentera hamba untuk menjalankan tugas hasutan.”
Soalan Nabi ke 4 – “Hai Iblis!
Apakah yang pertama engkau tipu akan manusia?” Jawab Iblis – “Pertama sekali
hamba palingkan iktikadnya imannya kepada kafir sama ada dari segi perbuatan,
perkataan, kelakuan atau hatinya. Jika tidak berjaya juga, hamba akan tarik
dengan cara mengurangkan pahala. Lama-kelamaan mereka akan terjerumus mengikut
kemahuan jalan hamba”
Soalan Nabi ke 5 – “Hai Iblis! Jika
umatku sembahyang kerana Allah, bagaimana hal engkau?” Jawab Iblis –
“Sebesar-besar kesusahan kepada hamba. Gementarlah badan hamba dan lemah tulang
sendi hamba. Maka hamba kerahkan berpuluh-puluh iblis datang menggoda seorang
manusia, pada setiap anggota badannya. Setengah-setengahnya datang pada setiap
anggota badannya supaya malas sembahyang, was-was, terlupa bilangan rakaatnya,
bimbang pada pekerjaan dunia yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat habis
solat, hilangkan khusyuknya – matanya sentiasa menjeling ke kiri kanan,
telinganya sentiasa mendengar orang brcakap serta bunyi-bunyi yang lain.
Setengah Iblis duduk di belakang badan orang yang sembahyang itu supaya dia
tidak kuasa sujud lama-lama, penat atau duduk tahiyat dan dalam hatinya
sentiasa hendak cepat habis sembahyang, itu semua membawa kpd kurang pahala.
Jika para Iblis itu tidak dapat menggoda manusia itu, maka hamba sendiri akan
menghukum mereka dengan seberat-berat hukuman”
Soalan Nabi ke 6 – “Jika umatku
membaca Al-Quran kerana Allah, apalah rasa engkau?” Jawab Iblis – “Jika mereka
membaca Al-Quran kerana Allah, maka rasa terbakarlah tubuh hamba, putus-putus
segala urat hamba lalu hamba lari daripadanya.”
Soalan Nabi ke 7 – “Jika umatku
mengerjakan haji kerana Allah, bagaimana rasa engkau?” Jawab Iblis – “Binasalah
diri hamba, gugurlah daging dan tulang hamba kerana mereka telah mencukupkan rukun
Islamnya”
Soalan Nabi ke 8 – “Jika umatku
berpuasa kerana Allah, bagaimana hal engkau?” Jawab Iblis – “Ya Rasulullah!
Inilah bencana yang paling besar bahayanya kepada hamba. Apabila masuk awal
bulan Ramadhan, maka memancarlah cahaya Arasy dan Kursi, bahkan sekelian
Malaikat menyambut dengan kesukaan. Bagi orang yang berpuasa, Allah akan
mengampunkan segala dosa yang lalu dan digantikan dengan pahala yang amat besar
serta tidak dicatatkan dosanya selama dia berpuasa. Yang menhancurkan hati
hamba ialah segala isi langit dan bumi; yakni Malaikat, bulan, bintang, burung
dan ikan-ikan semuanya siang malam mendoakan keampunan orang yang berpuasa.
Satu lagi kemuliaan orang berpuasa ialah dimerdekakan pada setiap masa dari
azab neraka. Bahkan semua pintu neraka ditutup manakala semua pintu syurga
dibuka seluas-luasnya, serta dihembuskan angin dari bawah Arasy yang bernama
Angin Syirah yang amat lembut ke dalam syurga. Pada hari umat tuan mula
berpuasa, dengan perintah Allah datanglah sekelian Malaikat dengan garangnya
menangkap hamba dan tentera hamba; jin, syaitan dan ifrit lalu dipasung kaki
dan tangan dengan besi panas dan dirantai serta dimasukkan ke bawah bumi yang
amat dalam. Di sana pula beberapa azab yang lain telah menunggu kami. Setelah
habis umat tuan berpuasa barulah hamba dilepaskan dengan amaran agar tidak
mengganggu umat tuan. Umat tuan sendiri telah merasa ketenangan berpuasa
seperti mana mereka bekerja dan bersahur seorang diri di tengah malam tanpa
rasa takut berbanding bulan biasa.”
Soalan Nabi ke 9 – “Hai Iblis!
Bagaimana sekelian sahabatku kepada engkau?” Jawab Iblis – “Sekelian sahabat
tuan hamba juga adalah sebesar-besar seteru hamba. Tiada upaya hamba melawannya
dan tiada satu tipu daya yang dapat masuk kepada mereka. Kerana tuan sendiri telah
berkata yang “Sekelian sahabatku adalah seperti bintang di langit, jika kamu
mengikut mereka, maka kamu akan mendapat petunjuk.” Saidina Abu Bakar al-Siddiq
sebelum bersama tuan lagi, hamba tidak dapat hampir kepadanya inikan pula
setelah berdamping dengan tuan. Beliau begitu percaya atas kebenaran tuan
hingga dia menjadi wazirul a’zam. Bahkan tuan sendiri telah mengatakan jika
ditimbang sekelian isi dunia ini dengan amal kebajikan Abu Bakar, maka akan
lebih berat amal kebajikan Abu Bakar. Tambahan pula dia telah menjadi mertua
tuan kerana tuan berkahwin dengan anaknya, Saiyidatina Aisyah yang juga banyak
menghafaz Hadis tuan. Saiyidina Umar Al-Khattab pula tidaklah berani hamba
pandang akan wajahnya kerana dia sangat keras menjalankan hukum syariat Islam
dengan saksama. Jika hamba pandang wajahnya, maka gementarlah segala tulang
sendi hamba kerana sangat takut. Ini kerana imannya sangat kuat apalagi tuan
telah mengatakan, “JIKALAU adanya Nabi sesudah aku maka Umar boleh menggantikan
aku” kerana dia adalah orang harapan tuan serta pandai membezakan antara kafir
dan Islam hingga digelar ‘Al-Faruq’. Saiyidina Usman Al-Affan lagi hamba tidak
boleh hampir, kerana lidahnya sentiasa bergerak membaca Al-Quran. Dia penghulu
orang sabar, penghulu orang mati syahid dan menjadi menantu tuan sebanyak dua
kali. Kerana taatnya, banyak Malaikat datang melawat dan memberi hormat
kepadanya kerana Malaikat itu sangat malu kepadanya hingga tuan
mengatakan,”Barang siapa menulis Bismillahir rahmanir rahim pada kitab atau
kertas-kertas dengan dakwat merah, nescaya mendapat pahala seperti pahala Usman
mati syahid” Saiyidina Ali Abi Talib pun itu hamba sangat takut kerana hebatnya
dan gagahnya dia di medan perang, tetapi sangat bersopan, alim orangnya. Jika
iblis, syaitan dan jin memandang beliau, maka terbakarlah kedua mata mereka
kerana dia sangat kuat beribadat serta beliau adalah budak pertama memeluk
agama Islam dan tidak pernah menunduk kan kepalanya kepada sebarang berhala.
Digelar ‘Ali Karamullahu Wajhahu’ – dimuliakan Allah akan wajahnya dan juga
‘Harimau Allah’ dan tuan sendiri berkata “Akulah negeri segala ilmu dan Ali itu
pintunya”. Tambahan pula dia menjadi menantu kepada tuan, lagilah hamba ngeri
kepadanya.
Soalan Nabi ke 10 – “Bagaimana
tipudaya engkau kepada umatku?” Jawab Iblis – “Umat tuan itu ada tiga macam.
Yang pertama seperti hujan dari langit yang menghidupkan segala tumbuhan iaitu
ulama yang memberi nasihat kepada manusia supaya mengerjakan perintah Allah
serta meninggalkan laranganNya seperti kata Jibrail a.s “Ulama itu adalah
pelita dunia dan pelita akhirat” Yang kedua umat tuan seperti tanah iaitu orang
yang sabar, syukur dan redha dengan kurniaan Allah. Berbuat amal soleh, tawakal
dan kebajikan. Yang ketiga umat tuan seperti Firaun; terlampau tamak dengan harta
dunia serta dihilangkan amal akhirat. Maka hamba pun sukacita lalu masuk
kedalam badannya, hamba putarkan hatinya ke lautan derhaka dan hamba hela ke
mana sahaja mengikut kehendak hamba. Jadi dia sentiasa bimbang kepada dunia dan
tidak hendak menuntut ilmu, tiada masa beramal ibadat, tidak hendak
mengeluarkan zakat, miskin hendak beribadat. Lalu hamba godanya minta kaya
dulu, dan apabila diizinkan Allah dia menjadi kaya, maka dilupakan beramal,
tidak berzakat seperti Qarun yang tenggelam dengan istana mahligainya. Bila
umat tuan terkena penyakit tidak sabar dan tamak, dia sentiasa bimbang akan
hartanya dan setengahnya asyik hendak merebut dunia harta, cakap besar sesama
Islam, benci dan menghina kepada yang miskin, membelanjakan hartanya untuk
jalan maksiat, tempat judi dan perempuan lacur”
Soalan Nabi ke 11 – “Siapa yang
serupa dengan engkau?” Jawab Iblis – “Orang yang meringankan syariat tuan hamba
dan membenci orang belajar agama Islam”
Soalan Nabi ke 12 – ” Siapa yang
mencahayakan muka engkau?” Jawab Iblis – “Orang yang berdosa, bersumpah bohong,
saksi palsu, pemungkir janji”
Soalan Nabi ke 13 – “Apakah rahsia
engkau kepada umatku?” Jawab Iblis – Jika seorang Islam pergi buang air besar
serta tidak membaca doa pelindung syaitan, maka hamba gosok-gosokkan najisnya
sendiri ke badannya tanpa dia sedari”
Soalan Nabi ke 14 – “Jika umatku
bersatu dengan isterinya, bagaimana hal engkau?” Jawab Iblis – “Jika umat tuan
hendak bersetubuh dengan isterinya serta membaca doa pelindung syaitan, maka
larilah hamba dari mereka. Jika tidak hamba akan bersetubuh dahulu dengan
isterinya, dan bercampurlah benih hamba dengan benih isterinya. Jika menjadi
anak maka anak itu akan gemar kepada pekerjaan maksiat, malas pada kebaikan,
durhaka. Ini semua kerana kealpaan ibu bapanya sendiri. Begitu juga jika mereka
makan tanpa Bismillah, hamba yang dahulu makan daripadanya. Walaupun mereka
makan, tiadalah rasa kenyang.”
Soalan Nabi ke 15 – “Dengan jalan
apa boleh menolak tipu daya engkau?” Jawab Iblis – “Jika dia berbuat dosa, maka
dia kembali bertaubat kepada Allah, menangis kesal akan perbuatannya. Apabila
marah segeralah mengambil air sembahyang, maka padamlah marahnya.”
Soalan Nabi ke 16 – “Siapakah orang
yang paling engkau lebih suka?” Jawab Iblis – “Lelaki dan perempuan yang tidak
mencukur atau mencabut bulu ketiak atau bulu ari-ari(bulu kemaluan) selama 40
hari. Di situ lah hamba mengecilkan diri, bersarang, bergantung, berbuai
seperti pijat pada bulu itu”
Soalan Nabi ke 17 – “Hai Iblis!
Siapakah saudara engkau?” Jawab Iblis – “Orang yang tidur meniarap, orang yang
matanya celik di waktu subuh tetapi menyambung tidur semula. Lalu hamba ulit
dia lena hingga terbit fajar. Demikian jua pada waktu zohor, asar, maghrib dan
isyak, hamba beratkan hatinya untuk solat”
Soalan Nabi ke 18 – “Apakah jalan
yang membinasakan diri engkau?” Jawab Iblis – “Orang yang banyak menyebut nama
Allah, bersedekah dengan tidak diketahui orang, banyak bertaubat, banyak
tadarus Al-Quran dan solat tengah malam”
Soalan Nabi ke 19 – “Hai Iblis!
Apakah yang memecahkan mata engkau?” Jawab Iblis – “Orang yang duduk di dalam
masjid serta beriktikaf di dalamnya”
Soalan Nabi ke 20 – “Apa lagi yang
memecahkan mata engkau?” Jawab Iblis – “Orang yang taat kepada kedua
ibubapanya, mendengar kata mereka, membantu makan-pakai mereka selama mereka
hidup, kerana tuan telah bersabda,’Syurga itu di bawah tapak kaki ibu’ “
Semoga
Allah selalu memberikan keberkahan serta RahmatNya dan terhindar dari
pada Fitnah-fitnah Dajjal,dan juga Selamat fii Dunia wal Akhirah kepada
orang yang menyempatkan menulis artikel yang sangat bagus sekali
ini,mengcopy,menyebarkan,serta membaca dan mengamalkannya.dengan
semata-mata karena Allah SWT.Alfatihah....
sum:blogyovie